Monday, May 26, 2014

Aku Di Sini Menyempurnakanmu

Setiap anak Adam dilahirkan dengan kegelisahan dan kekosongan yang walau di isi dengan segala yang ada di langit dan di bumi, dan walau diberi kedudukan di syurga tertinggi sekalipun, ia masih tidak dapat menandingi kehadiran seorang insan bernama isteri.

Bapa Adam kita ketika dicipta ia diberi segalanya; berada dekat dengan Tuhannya, berada di dalam syurga yang tidak terbayangkan akal kita nikmat-Nya, diberi penghormatan oleh seluruh makhluk untuk tunduk padanya, namun ia masih merasakan satu kekosongan, di benak hatinya.

Lalu tatkala ia tidur, Allah menciptakan Hawa dari tulang rusuknya, dan ketika ia bangun, ia mendapati seorang yang serupa dengannya tetapi lain paras di sebelahnya. “Aku di sini untuk menyempurnakanmu,” kata Hawa.

Benarlah nikah itu menyempurnakan separuh kehidupan manusia, tanyalah mana-mana pasangan yang sudah berkahwin tentang perasaan mereka, pastinya ia tidak tergambar kerana ketenangan dan kebahagiaan yang mereka alami itu tidak mampu dikatakan dengan kata-kata.

Bak kata Ayatul Husna,
Sekalipun cinta telah ku uraikan,
dan ku jelaskan panjang lebar,
namun jika cinta kudatangi,
aku jadi malu pada keteranganku sendiri…
meskipun lidahku telah mampu menguraikan,
namun tanpa lidah, cinta ternyata lebih terang..
sementara pena begitu tergesa-gesa menuliskannya..
kata-kata pecah berkeping-keping,
begitu sampai kepada cinta..
dalam menguraikan cinta,
akal terbaring tak berdaya,
bagaikan keldai terbaring dalam lumpur..
cinta sendirilah yang menerangkan cinta dan percintaan..


Begitu hebat sekali kuasa cinta, dan begitu tinggi dan mulia sekali tempat letak seorang wanita di pandangan Tuhannya sehinggakan syurga itu tidak sempurna tanpa kehadiran si isteri tercinta. Apakah kaum hawa masih memerlukan perjuangan untuk equal rights di sisi lelaki sedangkan ia melengkapi mereka? Sedangkan manusia bernama lelaki itu tidak sempurna tanpa mereka? Dan dengan itu wajarlah bidadari dunia ini dilayani dengan sebaik mungkin oleh para suami dan juga lelaki.

Seorang yang telah capai akal balighnya, akan meniti satu perasaan mendambakan seorang wanita, dan sungguh tatkala itu perkahwinan itu dibenarkan, kerana ia perkahwinan itu membawa seorang lelaki dan wanita itu menemui fitrah mereka sebagai hamba yang saling memerlukan.

Namun, ikatan cinta sering diperkotak katik dan dipersia serta dimainkan seperti ianya tiada nilai, bertukar ganti pasangan sehingga kata-kata cinta itu diletak begitu rendah sekali martabatnya separas dengan lutut mereka. Nafsu dijadikan tumpuan dan dijadikan sasaran untuk dilampiaskan, tak kira cara dan siapa asalkan ia terlaksana. Makna cinta kini terbogel entah ke mana bila dua teman baik syaitan ini berdampingan dan berdua-duaan.

Dan sungguh, fitrah manusia itu ianya rakus dan gelojoh, ia sentiasa ingin memenuhi kehendak dan kemahuannya tanpa mengira batas waktu dan zaman, tanpa mengira apa dan siapa. Pertautan hati yang awal tadi bermula dengan cinta dan kasih sayang kini dibayangi dengan tsunami benci yang melanda setiap hari, keporakperandaan jelas terpancar di wajah sang isteri yang dulu bermuka girang kini masam tak terperi, akibat ketiadaan persefahaman akibat kegagalan memahami fitrah perbezaan wanita dan lelaki, suami dan si isteri.

Kecuali mereka yang hidupnya dinaungi bayangan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. tercinta, di situ aku melihat persefahaman yang tiada tandingnya, di situ aku melihat kebahagiaan yang sering dicemburui sekalian raja, di situ aku melihat kepercayaan yang tidak tercapai akal manusia.

Maka beruntunglah wahai wanita dan lelaki, kerana kau diberi satu nikmat yang tidak terperi, dalam bentuk suami dan isteri, maka sempurnakanlah pasanganmu sebagaimana dirimu ingin disempurnakan.

Rohani Redzwa

 Rohani Redzwa