Saturday, March 25, 2017

Kerja Kursus STPM, Pengajian Am, Penggal 2 - Pengenalan

1.0  PENGENALAN

Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, (2002:halaman 1055) ‘prasarana’ bermaksud keseluruhan kemudahan dan perkhidmatan asas seperti kemudahan pengangkutan dan  perhubungan bekalan kuasa seperti elektrik, dan lain-lain yang perlu bagi pembangunan dan kemajuan negara.  Pengertian prasarana adalah sesuatu yang merupakan penunjang utama terselenggaranya suatu proses.  Sama ada proses tersebut berupaya sebagai suatu usaha pembangunan ataupun projek.  Manakala, kemudahan asas pula bermaksud prasarana yang disediakan oleh pihak kerajaan di tempat awam seperti tandas, pondok telefon awam, tong sampah, tempat berteduh bagi pejalan kaki dan lain-lain, yang ditempatkan di sepanjang lebuh raya atau jalan raya, contoh yang lebih jelas bagi kemudahan asas ialah padang permainan awam, dewan sebaguna, pasar, sekolah dan pejabat kerajaan.  Secara asasnya, frasa kemudahan asas, prasarana, dan infrastruktur tergolong dalam kata sinonim yang mempunyai maksud yang seerti. 

Seterusnya, menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, (2002:halaman 674) ‘perkhidmatan’ pula bermaksud perihal berkhidmat, bertugas, kerja, usaha, kemudahan dan lain-lain untuk tujuan kebajikan, keperluan, kepentingan orang ramai dan lain-lain.  Perkhidmatan adalah kerja yang dilakukan oleh seseorang individu atau sekumpulan individu yang memberi manfaat kepada orang lain tanpa memberi barang atau dalam erti kata lain tanpa memberikan sesuatu benda.  Ini termasuk memberikan tenaga, kemahiran, kepakaran dan pengalaman yang memberi manfaat kepada orang lain atau pelanggan.   Pada masa yang sama, pembekal perkhidmatan boleh terlibat dalam aktiviti ekonomi tanpa mengalami batasan seperti perlu menyediakan stok, inventori atau bahan mentah.  Pelaburan mereka dalam kepakaran memerlukan pemasaran perkhidmatan dan penambahbaikan yang berterusan untuk menghadapi persaingan. Kebanyakan perkhidmatan bagaimanapun memerlukan struktur fizikal dan peralatan yang besar, dan menggunakan sumber yang banyak seperti perkhidmatan ketenteraan dan perkhidmatan pengangkutan.

Selain itu, menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, (2002:halaman 300) ‘dewan’ bermaksud balai, ruang, atau tempat untuk diadakan sesuatu seperti persidangan, perjumpaan, forum, ceramah dan lain-lain.  Dewan merupakan satu keperluan terutamanya di kawasan-kawasan yang padat dengan penduduk.  Dewan juga boleh digunakan untuk mengadakan pelbagai program kemasyarakatan, majlis-majlis keramaian seperti perkahwinan, sambutan perayaan, dan sebagainya.  Sekiranya tidak terdapat dewan di sesuatu kampung atau bandar, penduduk yang mendiami kawasan tersebut terpaksa mengadakan majlis-majlis tertentu di tempat-tempat atau kawasan yang lebih jauh.  Hal ini akan menyusahkan penduduk setempat.  Pada masa yang sama, dewan juga boleh digunakan untuk aktiviti-aktiviti sukan dan rekreasi yang lain.  Hal ini akan mengeratkan hubungan di antara masyarakat setempat.  Dalam pada itu, dewan juga boleh digunakan oleh belia-belia untuk tujuan yang lebih berfaedah dan untuk mengelakkan diri daripada aktivti-aktiviti yang membinasakan. 

Manakala, dewan juga merupakan keperluan penting untuk masyarakat sebagai tempat perjumpaan umum bagi tujuan sosial, politik, pembelajaran dan lain-lain.  Dewan juga berfungsi sebagai alat untuk memupuk semangat perpaduan dan kejiranan.  Selain itu, dewan juga turut digunakan oleh orang ramai sebagai pusat untuk melaksanakan perkhidmatan kerajaan seperti kempen kesihatan, aktiviti penerangan dan sebagainya.  Penyediaan dewan adalah berdasarkan kepada fungsi, kepadatan penduduk, dan jarak lingkungan kemudahan ini.  Terdapat tiga jenis dewan, iaitu balai raya, dewan orang ramai, dan dewan serbaguna.  Balai raya didapati di kawasan luar bandar, manakala, dewan orang ramai dan dewan serbaguna didapati di kawasan bandar. 

Melalui pembacaan buku yang bertajuk (KESEDAR) Peneraju Transformasi Luar Bandar, pengkaji telah mengetahui bahawa Dewan Pusat Sivik (KESEDAR) telah ditubuhkan oleh pihak (KESEDAR) pada tahun 1995.  Manakala, nama sivik diberi kerana dewan ini sentiasa mengadakan majlis-majlis ilmu yang sentiasa memberikan kesedaran kepada orang ramai.  Tujuan dewan ini ditubuhkan pula bagi mengeratkan hubungan silaturahim di antara masyarakat di bandar Gua Musang.  Umum mengetahui bahawa sivik bermaksud ilmu tatarakyat dan hak serta perasaan tanggungjawab seseorang terhadap masyarakat.  Ilmu tatarakyat pula dihuraikan sebagai ilmu yang berkenaan dengan bagaimana seseorang hidup dalam masyarakatnya.  Pendek kata, sivik yang sinonim dengan perkataan ‘kesedaran’ membawa kita kepada suatu aspek kesedaran mental dan fizikal untuk hidup bermasyarakat dengan kandungan nilai-nilai bertanggungjawab, hormat-menghormati, amanah, ikhlas, beretika, bersatupadu dan sebagainya.  Hal ini menyebabkan perkataan sivik dijadikan nama kepada dewan ini. 

Bagi membentuk satu masyarakat yang berilmiah, pendidikan sivik harus dipupuk dikalangan generasi muda terutamanya golongan remaja.  Hal ini bertujuan untuk mempertingkatkan semangat patriotik dan nasionalisme dalam diri mereka agar golongan tersebut dapat lebih memahami negara mereka dari segi perkembangan ekonomi  dan dari segi sistem politik.  Di samping itu, tumpuan perlu diberi dalam penguasaan dan perkembangan dari segi kemahiran berfikir bagi membolehkan golongan muda membuat keputusan secara rasional dalam menghadapi sebarang dugaan masa depan yang kompleks.

Kesimpulannya, Dewan Pusat Sivik (KESEDAR) merupakan antara salah sebuah institusi yang banyak memberi impak positif kepada penduduk sekitar bandar Gua Musang. Setelah dewan ini ditubuhkan, penduduk di sekitar bandar Gua Musang telah mendapat pelbagai manfaat daripada penggunaan dewan ini. Sekiranya dewan ini tidak ditubuhkan di bandar ini, sudah pasti penduduk di bandar Gua Musang akan menemui kesusahan untuk mendapatkan kemudahan asas iaitu dewan bagi mengadakan pelbagai jenis majlis.

No comments:

Rohani Redzwa

 Rohani Redzwa