Saturday, March 25, 2017

Kerja Kursus STPM, Pengajian Am, Penggal 2 - Rumusan & Kesimpulan

6.0 RUMUSAN DAN KESIMPULAN

            Kesimpulannya, dewan merupakan keperluan penting untuk masyarakat sebagai tempat perjumpaan umum bagi tujuan sosial, politik, pembelajaran dan lain-lain.  Selain itu, dewan juga berfungsi sebagai alat untuk memupuk semangat perpaduan dan kejiranan.  Pada masa yang sama, dewan juga turut digunakan oleh orang ramai sebagai pusat untuk melaksanakan perkhidmatan kerajaan seperti kempen kesihatan, aktiviti penerangan dan sebagainya. 

            Penyediaan dewan adalah berdasarkan kepada fungsi, kepadatan penduduk, dan jarak lingkungan kemudahan ini.  Terdapat tiga jenis dewan, iaitu balai raya, dewan orang ramai, dan dewan serbaguna.  Balai raya didapati di kawasan luar bandar, manakala, dewan orang ramai dan dewan serbaguna didapati di kawasan bandar. Dewan merupakan satu keperluan terutamanya di kawasan-kawasan yang padat dengan penduduk.  Seterusnya, dewan juga boleh digunakan untuk mengadakan pelbagai program kemasyarakatan, majlis-majlis keramaian seperti perkahwinan, sambutan perayaan, dan sebagainya. 

            Sekiranya tidak terdapat dewan di sesuatu kampung atau bandar, penduduk yang mendiami kawasan tersebut terpaksa mengadakan majlis-majlis tertentu di tempat-tempat atau kawasan yang lebih jauh.  Hal ini akan menyusahkan penduduk setempat.  Pada masa yang sama, dewan juga boleh digunakan untuk aktiviti-aktiviti sukan dan rekreasi yang lain.  Perkara ini akan mengeratkan hubungan di antara masyarakat setempat.  Dalam pada itu, dewan juga boleh digunakan oleh belia-belia untuk tujuan yang lebih berfaedah dan untuk mengelakkan diri daripada terlibat dengan aktivti-aktiviti yang membinasakan.

            Sehubungan dengan itu, penambahbaikan dewan perlulah dilaksanakan agar dewan yang sedia ada akan menjadi lebih moden selari dengan peredaran masa yang menuju ke wawasan 2020.  Antara penambahbaikan yang boleh dilaksanakan terhadap sesuatu dewan ialah dengan menyediakan skrin besar atau ‘big screen’di setiap dewan yang ditubuhkan. Hal ini akan lebih menarik minat penduduk untuk berkunjung ke sesuatu dewan tersebut. Seterusnya, penyaman udara juga dapat menarik minat penduduk untuk berkunjung ke dewan yang disediakan .  Kebanyakkan dewan tidak menyediakan penyaman udara. Oleh itu, penyediaan penyaman udara adalah diperlukan kerana penyaman udara penting untuk menarik minat golongan masyarakat agar berkunjung ke dewan tersebut.

            Dewan Pusat Sivik (KESEDAR) adalah sebuah institusi untuk kegunaan semua lapisan masyarakat yang tinggal di kawasan Gua Musang.  Antara jenis-jenis perkhidmatan yang disediakan di Dewan Pusat Sivik (KESEDAR) di Gua Musang ialah menyediakan kawasan bagi mengadakan majlis perkahwinan, mempunyai gelanggang badminton untuk kegunaan penduduk, menyediakan kerusi dan meja yang mencukupi untuk setiap acara, perkhidmatan yang ditawarkan di dewan ini merangkumi pekerja bagi membantu majlis dan urusan kerajaan seperti pusat pengiraan undi juga dilaksanakan di dewan ini. 

            Gelanggang badminton yang disediakan di dewan ini akan memberi manfaat kepada penduduk-penduduk yang tinggal di bandar Gua Musang.  Antara kabaikan yang bakal diperolehi penduduk-penduduk yang tinggal di bandar Gua Musang dengan adanya gelanggang badminton ini ialah, penduduk setempat dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama penduduk di samping menyihatkan badan.  Sekiranya gelanggang badminton tidak disediakan di dewan ini, sudah pasti agak sukar bagi penduduk yang tinggal di bandar Gua Musang untuk mendapatkan kemudahan awam yang dapat membolehkan mereka melakukan aktiviti kesukanan.  Jelaslah  bahawa, gelanggang badminton untuk kegunaan penduduk setempat yang disediakan di Dewan Pusat Sivik (KESEDAR) telah banyak mendatangkan pelbagai manfaat kepada penduduk di kawasan bandar Gua Musang.



            Kesimpulannya, didapati bahawa masih ramai masyarakat yang tidak mengetahui tentang jenis-jenis perkhidmatan yang disediakan di Dewan Pusat Sivik (KESEDAR).  Oleh itu, masyarakat haruslah lebih prihatin agar mereka mengetahui tentang tujuan penubuhan sesuatu dewan.  Hal ini demikian kerana umum mengetahui bahawa tujuan dewan ini tubuhkan tidak lain dan tidak bukan tetapi hanyalah untuk kebaikan masyarakat yang tinggal di kawasan ini agar mereka memperoleh pelbagai manfaat. 

No comments:

Rohani Redzwa

 Rohani Redzwa