Saturday, March 25, 2017

Kerja Kursus STPM, Pengajian Am, Penggal 2 - Pengenalan

1.0  PENGENALAN

Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, (2002:halaman 1055) ‘prasarana’ bermaksud keseluruhan kemudahan dan perkhidmatan asas seperti kemudahan pengangkutan dan  perhubungan bekalan kuasa seperti elektrik, dan lain-lain yang perlu bagi pembangunan dan kemajuan negara.  Pengertian prasarana adalah sesuatu yang merupakan penunjang utama terselenggaranya suatu proses.  Sama ada proses tersebut berupaya sebagai suatu usaha pembangunan ataupun projek.  Manakala, kemudahan asas pula bermaksud prasarana yang disediakan oleh pihak kerajaan di tempat awam seperti tandas, pondok telefon awam, tong sampah, tempat berteduh bagi pejalan kaki dan lain-lain, yang ditempatkan di sepanjang lebuh raya atau jalan raya, contoh yang lebih jelas bagi kemudahan asas ialah padang permainan awam, dewan sebaguna, pasar, sekolah dan pejabat kerajaan.  Secara asasnya, frasa kemudahan asas, prasarana, dan infrastruktur tergolong dalam kata sinonim yang mempunyai maksud yang seerti. 

Seterusnya, menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, (2002:halaman 674) ‘perkhidmatan’ pula bermaksud perihal berkhidmat, bertugas, kerja, usaha, kemudahan dan lain-lain untuk tujuan kebajikan, keperluan, kepentingan orang ramai dan lain-lain.  Perkhidmatan adalah kerja yang dilakukan oleh seseorang individu atau sekumpulan individu yang memberi manfaat kepada orang lain tanpa memberi barang atau dalam erti kata lain tanpa memberikan sesuatu benda.  Ini termasuk memberikan tenaga, kemahiran, kepakaran dan pengalaman yang memberi manfaat kepada orang lain atau pelanggan.   Pada masa yang sama, pembekal perkhidmatan boleh terlibat dalam aktiviti ekonomi tanpa mengalami batasan seperti perlu menyediakan stok, inventori atau bahan mentah.  Pelaburan mereka dalam kepakaran memerlukan pemasaran perkhidmatan dan penambahbaikan yang berterusan untuk menghadapi persaingan. Kebanyakan perkhidmatan bagaimanapun memerlukan struktur fizikal dan peralatan yang besar, dan menggunakan sumber yang banyak seperti perkhidmatan ketenteraan dan perkhidmatan pengangkutan.

Selain itu, menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, (2002:halaman 300) ‘dewan’ bermaksud balai, ruang, atau tempat untuk diadakan sesuatu seperti persidangan, perjumpaan, forum, ceramah dan lain-lain.  Dewan merupakan satu keperluan terutamanya di kawasan-kawasan yang padat dengan penduduk.  Dewan juga boleh digunakan untuk mengadakan pelbagai program kemasyarakatan, majlis-majlis keramaian seperti perkahwinan, sambutan perayaan, dan sebagainya.  Sekiranya tidak terdapat dewan di sesuatu kampung atau bandar, penduduk yang mendiami kawasan tersebut terpaksa mengadakan majlis-majlis tertentu di tempat-tempat atau kawasan yang lebih jauh.  Hal ini akan menyusahkan penduduk setempat.  Pada masa yang sama, dewan juga boleh digunakan untuk aktiviti-aktiviti sukan dan rekreasi yang lain.  Hal ini akan mengeratkan hubungan di antara masyarakat setempat.  Dalam pada itu, dewan juga boleh digunakan oleh belia-belia untuk tujuan yang lebih berfaedah dan untuk mengelakkan diri daripada aktivti-aktiviti yang membinasakan. 

Manakala, dewan juga merupakan keperluan penting untuk masyarakat sebagai tempat perjumpaan umum bagi tujuan sosial, politik, pembelajaran dan lain-lain.  Dewan juga berfungsi sebagai alat untuk memupuk semangat perpaduan dan kejiranan.  Selain itu, dewan juga turut digunakan oleh orang ramai sebagai pusat untuk melaksanakan perkhidmatan kerajaan seperti kempen kesihatan, aktiviti penerangan dan sebagainya.  Penyediaan dewan adalah berdasarkan kepada fungsi, kepadatan penduduk, dan jarak lingkungan kemudahan ini.  Terdapat tiga jenis dewan, iaitu balai raya, dewan orang ramai, dan dewan serbaguna.  Balai raya didapati di kawasan luar bandar, manakala, dewan orang ramai dan dewan serbaguna didapati di kawasan bandar. 

Melalui pembacaan buku yang bertajuk (KESEDAR) Peneraju Transformasi Luar Bandar, pengkaji telah mengetahui bahawa Dewan Pusat Sivik (KESEDAR) telah ditubuhkan oleh pihak (KESEDAR) pada tahun 1995.  Manakala, nama sivik diberi kerana dewan ini sentiasa mengadakan majlis-majlis ilmu yang sentiasa memberikan kesedaran kepada orang ramai.  Tujuan dewan ini ditubuhkan pula bagi mengeratkan hubungan silaturahim di antara masyarakat di bandar Gua Musang.  Umum mengetahui bahawa sivik bermaksud ilmu tatarakyat dan hak serta perasaan tanggungjawab seseorang terhadap masyarakat.  Ilmu tatarakyat pula dihuraikan sebagai ilmu yang berkenaan dengan bagaimana seseorang hidup dalam masyarakatnya.  Pendek kata, sivik yang sinonim dengan perkataan ‘kesedaran’ membawa kita kepada suatu aspek kesedaran mental dan fizikal untuk hidup bermasyarakat dengan kandungan nilai-nilai bertanggungjawab, hormat-menghormati, amanah, ikhlas, beretika, bersatupadu dan sebagainya.  Hal ini menyebabkan perkataan sivik dijadikan nama kepada dewan ini. 

Bagi membentuk satu masyarakat yang berilmiah, pendidikan sivik harus dipupuk dikalangan generasi muda terutamanya golongan remaja.  Hal ini bertujuan untuk mempertingkatkan semangat patriotik dan nasionalisme dalam diri mereka agar golongan tersebut dapat lebih memahami negara mereka dari segi perkembangan ekonomi  dan dari segi sistem politik.  Di samping itu, tumpuan perlu diberi dalam penguasaan dan perkembangan dari segi kemahiran berfikir bagi membolehkan golongan muda membuat keputusan secara rasional dalam menghadapi sebarang dugaan masa depan yang kompleks.

Kesimpulannya, Dewan Pusat Sivik (KESEDAR) merupakan antara salah sebuah institusi yang banyak memberi impak positif kepada penduduk sekitar bandar Gua Musang. Setelah dewan ini ditubuhkan, penduduk di sekitar bandar Gua Musang telah mendapat pelbagai manfaat daripada penggunaan dewan ini. Sekiranya dewan ini tidak ditubuhkan di bandar ini, sudah pasti penduduk di bandar Gua Musang akan menemui kesusahan untuk mendapatkan kemudahan asas iaitu dewan bagi mengadakan pelbagai jenis majlis.

Kerja Kursus STPM, Pengajian Am, Penggal 2 - Metodologi Kajian

4.0 METODOLOGI KAJIAN

Pendahuluan

            Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, (2007:halaman 1230) ‘metodologi’ bermaksud sistem yang merangkumi kaedah dan prinsip yang digunakan dalam sesuatu kegiatan, disiplin dan sebagainya.  Selain itu, metodologi juga merupakan satu kaedah yang digunakan untuk melaksanakan kajian ke atas subjek kajian yang tertentu mengikut disiplin yang teratur.  Tujuannya adalah untuk menghasilkan kajian yang baik.  Oleh yang demikan, pengkaji haruslah sedaya upaya memanfaatkan teori penyelidikan tersebut dalam penghasilan kertas projek ini.

Oleh itu, dalam bahagian ini, pengkaji akan membincangkan tentang reka bentuk kajian, sampel kajian, batasan kajian, instrument kajian dan prosedur analisis data bagi menjawab persoalan-persoalan kajian yang telah dikemukakan lebih awal.  Selain itu, metodologi kajian juga boleh digunakan bagi memastikan objektif kajian dapat dicapai berdasarkan data sah dan dipercayai.

4.1 Reka Bentuk Kajian

            Kajian ini berbentuk kajian tinjauan berbentuk deskriptif.  Kajian tinjauan merupakan satu rangka rujuk mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan persampelan, pengukuran dan analisis data.  Penyelidikan deskriptif merupakan suatu jenis penyelidikan yang bertujuan untuk menerangkan fenomena yang sedang berlaku.  Kajian ini adalah untuk mengenalpasti perkhidmatan yang disediakan di Dewan Pusat Sivik (KESEDAR) Gua Musang, Kelantan serta mengkaji tahap kepuasan pengguna terhadap perkhidmatan yang disediakan di dewan tersebut.




4.2 Instrument Kajian

            Instrument ialah proses menyediakan alat pengumpulan data menerusi konsep yang berkaitan dengan sikap, persepsi, pandangan, dan keterangan latar belakang.

Jadual 1 : Kaedah Instrument Kajian.
Kaedah
Instrument
Kuantitatif
Borang Soal Selidik dan Borang Temubual
Kualitatif
Rujukan dan Pemerhatian
Sumber : Kajian Lapangan ,2016.

4.2.1 Soal Selidik

            Instrument soal selidik ialah alat pengukur yang popular dalam kajian tinjauan.  Borang soal selidik ini dibina mengikut prinsip Keep It Short and Simple (KISS) iaitu mengemukakan soalan yang mudah difahami dan ringkas, ( R.Kuberan et al, 2013 ).  Borang soal selidik ini mengandungi tiga bahagian iaitu bahagian A, bahagian B, dan bahagian C dengan menggunakan skala likert lima aras.

4.2.2 Temubual

            Instrument temubual mempunyai dua peringkat iaitu secara formal dan tidak formal.  Kaedah temubual ini boleh digunakan secara bersemuka, tidak bersemuka, dan bantuan komputer.  Kaedah yang pengkaji gunakan adalah tidak formal iaitu secara bersemuka yang melibatkan penyelia (KESEDAR) yang bertugas dalam memajukan dewan tersebut serta dua orang pelanggan yang mendapatkan perkhidmatan dewan tersebut.  Pengkaji menjalankan temubual dalam keadaan yang selesa, dan pengkaji juga berwatak sebagai pendengar yang baik, malahan pengkaji juga mengajukan soalan yang penting itu dengan jelas dan tepat.  Pengkaji telah menyenaraikan beberapa persoalan bagi menjawab objektif kajian ini.

4.2.3 Rujukan Kepustakaan

            Instrument rujukan utama yang pengkaji perolehi daripada bahan ilmiah seperti buku-buku, kamus, dan sumber internet yang berkaitan dengan perkhidmatan yang disediakan di Dewan Pusat Sivik (KESEDAR) di Gua Musang, Kelantan.  Sumber rujukan adalah penting untuk melihat hasil dapatan terdahulu.


i.                    Buku :
Pengkaji telah menggunakan pelbagai buku yang berkaitan dengan tajuk yang dipilih oleh pengkaji.  Terdapat pelbagai maklumat yang pengkaji perolehi daripada beberapa buah buku bagi menambahkan lagi maklumat dalam kajian ini.

ii.                  Kamus :
Kaedah ini juga dijalankan dengan cara merujuk kepada Kamus Dewan bagi mendapatkan maklumat berkaitan dengan tajuk yang dikaji.  Melalui kaedah ini, pengkaji telah berjaya menambah ilmu pengetahuan yang sedia ada.

iii.                Internet :
Kaedah terakhir yang digunakan oleh pengkaji ialah melalui internet.  Pengkaji melayari internet bagi membantu dalam menyempurnakan kerja kursus ini. Oleh itu, pengkaji telah melayari laman sesawang berkaitan dengan tajuk yang dipilih oleh pengkaji bagi membantu pengkaji dalam menyiapkan kajian yang dipilih.

4.2.4 Pemerhatian

            Instrument pemerhatian adalah kaedah yang dijalankan secara langsung.  Kaedah ini dijalankan semasa lawatan ke Dewan Pusat Sivik (KESEDAR), Gua Musang. Pengkaji menyediakan borang pemerhatian jenis terbuka untuk memerhati dan menganalisa dapatan kajian.  Pengkaji mencatatkan item-item yang diperhatikan dan menyediakan gambar-gambar yang berkaitan.  Pemerhatian dilakukan dari pagi hingga ke petang. 

4.3 Sampel Kajian

            Persampelan ialah kumpulan manusia, institusi, tempat, atau fenomena yang menjadi sumber informasi yang diperlukan oleh pengkaji.  Pemilihan sampel dalam kajian tinjauan adalah secara rawak daripada sesuatu populasi yang dikenalpasti.  Responden kajian ini terdiri daripada tiga puluh orang penduduk dari kawasan Taman Wangsa Mewangi, Gua Musang.  Mereka terdiri daripada sepuluh orang perempuan dan dua puluh orang lelaki dari penduduk di kawasan tersebut yang akan diambil sebagai responden.  Responden terbatas kepada penduduk yang menetap di kawasan Taman Wangsa Mewangi, Gua Musang dan mengisi borang soal selidik dengan lengkap pada hari kajian di jalankan.  Bagi teknik persampelan yang digunakan dalam kajian ini pula ialah menggunakan teknik persampelan rawak mudah di mana dengan menggunakan prosedur persampelan ini, setiap penduduk di kawasan Taman Wangsa Mewangi, Gua Musang mempunyai peluang yang sama untuk dipilih sebagai responden.  Sampel kajian terdiri daripada tiga puluh orang penduduk dan tiga puluh borang soal selidik akan diberikan kepada mereka secara rawak mudah untuk memperoleh data yang lebih tepat.  Dalam penggunaan kaedah secara kuantitatif pula, tiga orang akan dipilih untuk ditemubual.

4.4 Cara Pengumpulan Data

            Data dan maklumat kajian ini dikumpul menggunakan pelbagai cara seperti dokumentasi, borang soal selidik, temubual dan borang pemerhatian.

            4.4.1 Dokumentasi

                        Kajian ini dimulakan dengan kajian terhadap bahan-bahan bertulis yang telah diterbitkan sepeti buku, dan sumber daripada internet bagi mendapatkan maklumat berkenaan dengan perkhidmatan yang disediakan di Dewan Pusat Sivik (KESEDAR) Gua Musang.

            4.4.2 Pemerhatian

                        Kaedah pemerhatian ini dijalankan selama satu hari di sekitar kawasan Dewan Pusat Sivik (KESEDAR) Gua Musang, iaitu sebanyak tiga kali atau tiga peringkat.  Borang pemerhatian ini adalah jenis borang pemerhatian terbuka iaitu pengkaji melihat majlis atau perhimpunan tersebut dijalankan di dewan berkenaan selama tempoh berkenaan.  Sesi pemerhatian ini telah dijalankan pada tarikh 19 Februari 2016, 26 Februari 2016 & 04 Mac 2016 yang berlangsung antara jam 3.00 hingga 6.00 petang iaitu majlis perkahwinan, majlis ilmu, dan ceramah perdana.

            4.4.3 Soal Selidik

                        Borang soal selidik yang sesuai telah pengkaji buat untuk mendapatkan dan mengumpul maklumat yang tepat dan betul berdasarkan objektif kajian.  Borang telah diedarkan secara rawak kepada responden di kawasan kajian.  Borang soal selidik terdiri daripada tiga bahagian iaitu bahagian A, bahagian B, dan bahagian C.  Bahagian A adalah mengenai maklumat diri responden.  Bahagian B pula ialah mengenai soalan yang berkaitan dengan perkhidmatan yang disediakan di Dewan Pusat Sivik (KESEDAR) Gua Musang.  Manakala, bahagian C adalah soalan mengenai tahap kepuasan pengguna terhadap perkhidmatan yang disediakan di Dewan Pusat Sivik (KESEDAR) Gua Musang.  Kajian ini menggunakan skala likert lima aras iaitu 5 ialah sangat setuju, 4 menunjukkan setuju, 3 ialah tidak pasti, 2 pula ialah untuk tidak setuju dan akhir sekali 1 ialah sangat tidak setuju.  Borang soal selidik ini telah diedarkan kepada penduduk ketika pengkaji mengunjungi kawasan kediaman mereka yang terletak berdekatan dengan dewan tesebut.  Borang ini juga diberikan kepada salah seorang pegawai (KESEDAR) yang bertanggungjawab dalam menjaga perkembangan serta kemajuan dewan berkenaan.


            4.4.4 Temubual

                        Pengkaji menemubual tiga orang pengguna yang mendapatkan perkhidmatan di Dewan Pusat Sivik (KESEDAR) Gua Musang. Pengkaji menyediakan borang temubual yang mengandungi lima belas soalan berstruktur.  Tujuan utama temubual ini adalah untuk mengetahui tentang perkhidmatan yang disediakan di dewan ini.  Pengkaji mengadakan sesi temubual bersama dengan penduduk yang hadir ke majlis yang diadakan oleh pengguna dewan ini.  Pada masa yang sama, pengkaji juga menemubual pegawai yang bertanggungjawab ke atas perkhidmatan yang disediakan di dewan ini.

4.5 Cara Analisis Data

            Pada peringkat akhir kajian ini, telah dijalankan analisis secara deskriptif untuk menganalisis data daripada soal selidik dan penilaian untuk menghasilkan laporan kajian.  Data yang telah diperoleh daripada analisis ini menggunakan kekerapan, peratusan, jadual, graf, dan carta.  Selain itu, pengkaji juga menganalisis data bagi penyataan yang menggunakan skala likert 5 aras seperti berikut :

SKALA
TANDA (√)
Sangat Setuju

Setuju

Tidak Pasti

Tidak setuju

Sangat Tidak Setuju



            

Monday, May 26, 2014

Aku Di Sini Menyempurnakanmu

Setiap anak Adam dilahirkan dengan kegelisahan dan kekosongan yang walau di isi dengan segala yang ada di langit dan di bumi, dan walau diberi kedudukan di syurga tertinggi sekalipun, ia masih tidak dapat menandingi kehadiran seorang insan bernama isteri.

Bapa Adam kita ketika dicipta ia diberi segalanya; berada dekat dengan Tuhannya, berada di dalam syurga yang tidak terbayangkan akal kita nikmat-Nya, diberi penghormatan oleh seluruh makhluk untuk tunduk padanya, namun ia masih merasakan satu kekosongan, di benak hatinya.

Lalu tatkala ia tidur, Allah menciptakan Hawa dari tulang rusuknya, dan ketika ia bangun, ia mendapati seorang yang serupa dengannya tetapi lain paras di sebelahnya. “Aku di sini untuk menyempurnakanmu,” kata Hawa.

Benarlah nikah itu menyempurnakan separuh kehidupan manusia, tanyalah mana-mana pasangan yang sudah berkahwin tentang perasaan mereka, pastinya ia tidak tergambar kerana ketenangan dan kebahagiaan yang mereka alami itu tidak mampu dikatakan dengan kata-kata.

Bak kata Ayatul Husna,
Sekalipun cinta telah ku uraikan,
dan ku jelaskan panjang lebar,
namun jika cinta kudatangi,
aku jadi malu pada keteranganku sendiri…
meskipun lidahku telah mampu menguraikan,
namun tanpa lidah, cinta ternyata lebih terang..
sementara pena begitu tergesa-gesa menuliskannya..
kata-kata pecah berkeping-keping,
begitu sampai kepada cinta..
dalam menguraikan cinta,
akal terbaring tak berdaya,
bagaikan keldai terbaring dalam lumpur..
cinta sendirilah yang menerangkan cinta dan percintaan..


Begitu hebat sekali kuasa cinta, dan begitu tinggi dan mulia sekali tempat letak seorang wanita di pandangan Tuhannya sehinggakan syurga itu tidak sempurna tanpa kehadiran si isteri tercinta. Apakah kaum hawa masih memerlukan perjuangan untuk equal rights di sisi lelaki sedangkan ia melengkapi mereka? Sedangkan manusia bernama lelaki itu tidak sempurna tanpa mereka? Dan dengan itu wajarlah bidadari dunia ini dilayani dengan sebaik mungkin oleh para suami dan juga lelaki.

Seorang yang telah capai akal balighnya, akan meniti satu perasaan mendambakan seorang wanita, dan sungguh tatkala itu perkahwinan itu dibenarkan, kerana ia perkahwinan itu membawa seorang lelaki dan wanita itu menemui fitrah mereka sebagai hamba yang saling memerlukan.

Namun, ikatan cinta sering diperkotak katik dan dipersia serta dimainkan seperti ianya tiada nilai, bertukar ganti pasangan sehingga kata-kata cinta itu diletak begitu rendah sekali martabatnya separas dengan lutut mereka. Nafsu dijadikan tumpuan dan dijadikan sasaran untuk dilampiaskan, tak kira cara dan siapa asalkan ia terlaksana. Makna cinta kini terbogel entah ke mana bila dua teman baik syaitan ini berdampingan dan berdua-duaan.

Dan sungguh, fitrah manusia itu ianya rakus dan gelojoh, ia sentiasa ingin memenuhi kehendak dan kemahuannya tanpa mengira batas waktu dan zaman, tanpa mengira apa dan siapa. Pertautan hati yang awal tadi bermula dengan cinta dan kasih sayang kini dibayangi dengan tsunami benci yang melanda setiap hari, keporakperandaan jelas terpancar di wajah sang isteri yang dulu bermuka girang kini masam tak terperi, akibat ketiadaan persefahaman akibat kegagalan memahami fitrah perbezaan wanita dan lelaki, suami dan si isteri.

Kecuali mereka yang hidupnya dinaungi bayangan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. tercinta, di situ aku melihat persefahaman yang tiada tandingnya, di situ aku melihat kebahagiaan yang sering dicemburui sekalian raja, di situ aku melihat kepercayaan yang tidak tercapai akal manusia.

Maka beruntunglah wahai wanita dan lelaki, kerana kau diberi satu nikmat yang tidak terperi, dalam bentuk suami dan isteri, maka sempurnakanlah pasanganmu sebagaimana dirimu ingin disempurnakan.

Wednesday, April 9, 2014

Ayat Kefahaman - Kemuliaan Al-Quran

Al-Hasyr Ayat 21 :
  • Sekiranya kami turunkan Al-Quran ini ke atas gunung, nescaya engkau dapati gunung itu khusyuk serta berkecai kerana takut kepada Allah S.W.T. Dan ingatlah, contoh-contoh perbandingan ini kamu kemukakan kepada umat manusia supaya mereka memikirkannya.
Al-Hasyr Ayat 22 :
  • Dialah Allah yang tidak ada tuhan selain dia, yang mengetahui perkara yang ghaib dan nyata, dia maha pemurah lagi maha mengasihani.
 Al-Hasyr Ayat 23 :
  • Dialah Allah yang tidak ada tuhan selain dia, yang menguasai sekelian alam yang maha suci, yang maha selamat sejahtera daripada segala kekurangan, maha mengurniakan keamanan, maha memelihara, maha perkasa, maha berkuasa, maha memiliki segala keagungan. Maha suci Allah daripada segala yang mereka sekutukan dengannya.
Al-Hasyr Ayat 24 :
  • Dialah Allah yang mencipta sekelian makhluk, yang mengadakan daripada tiada kepada ada, yang membentuk rupa makhluk-makhluknya menurut yang dikehendakinya, baginyalah nama-nama yang sebaik-baik dan semulia-mulianya. Bertasbih kepadanya segala yang di langit dan di bumi dan dialah yang tidak ada tolak bandingannya, lagi maha bijaksana.
Di dalam ayat di atas, Allah S.W.T. membuat contoh perbandingan antara manusia dengan gunung apabila diturunkan Al-Quran.
 
Apakah Yang Anda Faham Dengan Perbandingan Tersebut ?
  • Gunung akan khusyuk dan berkecai kerana takutkan Allah jika diturunkan Al-Quran ke atasnya.
  • Manusia yang ingkar tidak takut dan gerun dengan Al-Quran.
  • Menunjukkan betapa besarnya tanggungjawab dan amanah yang dipikul oleh manusia.
  • Manusia hendaklah berfikir sejauh mana penghayatan mereka terhadap Al-Quran.
Mengapakah Allah S.W.T. Menggambarkan Gunung Akan Hancur Apabila Diturunkan Al-Quran Kepadanya ?
  • Menunjukkan tanggungjawab dan amanah yang terkandung didalam Al-Quran terlalu besar.
  • Keagungan Al-Quran sebagai mukjizat yang kekal hingga hari kiamat tidak tertanggung oleh makhluk lain kecuali manusia.

Wednesday, April 2, 2014

Ayat Kefahaman - Peribadi Mukmin

As-Sajadah Ayat 15 :
  • Sesungguhnya yang sebenar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan kami hanyalah orang-orang yang apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat-ayat itu, mereka segera sujud menandakan taat dan patuh. Dan menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji tuhan mereka dan mereka pula tidak bersikap sombong dan takbur.
As-Sajadah Ayat 16 :
  • Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, sedikit sangat mereka tidur, kerana mengerjakan solat tahajjud dan amal-amal soleh. Mereka sentiasa berdoa kepada tuhan mereka dengan perasaan takut akan kemurkaannya dengan perasaan ingin memperolehi lagi keredhaan, dan mereka selalu menginfaqkan sebahagian daripada rezeki yang kami beri kepada mereka.
Ibadat Sunat Yang Perlu Dilakukan Apabila Membaca Ayat As-Sajadah :
  • Sujud sajadah.
  • Sujud tilawah.
Ciri-Ciri Orang Beriman Yang Disebut Dalam As-Sajadah Ayat 15 :
Tunduk :
  • Tunduk kepada perintah Allah S.W.T. dan rasul.
  • Taat & melakukan segala perintah Allah S.W.T.
Sujud :
  • Menunaikan solat.
  • Mengagungkan kebesaran Allah S.W.T.
Tasbih :
  • Membesarkan Allah S.W.T. dengan sentiasa membaca Bismillah.
Tahmid :
  • Memuji Allah S.W.T. setiap masa.
Tidak Sombong :
  • Tidak angkuh terhadap makhluk lain.
Tidak Takbur :
  • Tidak bercakap besar.
Nyatakan Ciri-Ciri Orang Beriman Dalam As-Sajadah Ayat 16 : 
  • Mengerjakan Qiamullail.
  • Banyak berdoa.
  • Takut dengan kemurkaan Allah S.W.T.
  • Mengharapkan keredhaan Allah S.W.T.
  • Menginfaqkan rezeki ke jalan Allah S.W.T.
 Maksud Yang Tersirat Daripada Perkataan Sujud Kepada Allah S.W.T. :
  • Patuh.
  • Tunduk.
  • Taat kepada semua perintah Allah S.W.T.
Pengajaran Yang Boleh Diamalkan Untuk Mendapatkan Keredhaan Allah S.W.T. : 
  • Memperbanyakkan solat sunat.
  • Berzikir supaya hati sentiasa tenang.
  • Melazimi Qiamullail untuk mendapat ganjaran yang besar daripada Allah S.W.T.
  • Sebagai seorang mukmin, kita hendaklah bersifat tawadduk dan tidak sombong.
  • Menginfaqkan sebahagian harta ke jalan Allah S.W.T.
  • Sentiasa berdoa kepada Allah S.W.T.
 Maksud Tidak Takabur Dalam Ayat Di Atas :
  • Sentiasa merendah diri.
  • Tidak sombong.
  • Patuh kepada perintah Allah S.W.T.
  • Tidak bangga diri.
  • Tidak riak.
  • Tidak bangga diri.
  • Tidak bongkak.
Sujud Tilawah, Sujud Sahwi & Sujud Syukur Sunat Dilakukan Oleh Setiap Muslim, Sebab Sujud-Sujud Tersebut Sunat Dilakukan Dan Masa Yang Perlu Dilakukan Ialah :
Qiamullail Ialah Bangun Pada Waktu Malam Untuk Melakukan Ibadat. 
Jenis Ibadat Semasa Qiamullail Ialah : 
  • Berzikir.
  • Iktikaf.
  • Tazkirah.
  • Berdoa.
  • Membaca Al-Quran.
  • Solat sunat tahajjud.
  • Solat sunat hajat.
  • Solat sunat witir.
Pengajaran Ayat As-Sajadah :
  • Orang yang melazimi Qiamullail dijanjikan ganjaran yang besar oleh Allah S.W.T. 
  • Orang-orang mukmin bersifat tawaduk dan merendah diri kepada Allah S.W.T.
  • Mencari harta yang halal digalakkan oleh Islam dan menginfaqkan harta itu ke jalan Allah S.W.T.
  • Kita hendaklah memperbanyakkan berzikir kepada Allah S.W.T.

Adab Bermusafir

Maksud Bermusafir :
  • Perjalanan dari suatu tempat ke suatu tempat yang tertentu dengan tujuan kebaikan dan bermanfaat.
Hukum Bermusafir Menjadi :
Wajib :
  • Apabila seseorang muslim mampu bermusafir ke Mekah untuk menunaikan haji dan umrah yang wajib.
Sunat :
  • Untuk menziarahi tiga buah masjid utama iaitu Masjidil-Haram, Masjid Nabawi dan Masjid Al-Aqsa.
  • Bermusafir untuk melakukan perkara-perkara sunat seperti menziarahi sanak saudara.
Harus :
  • Bermusafir ke mana-mana destinasi asalkan diharuskan oleh syarak.
Haram :
  • Bermusafir ke tempat yang haram seperti tempat maksiat.
Adab Bermusafir :
  • Memohon petunjuk daripada Allah S.W.T. sebelum memulakan perjalanan.
  • Meminta nasihat daripada orang yang berpengalaman.
  • Menyediakan bekalan yang secukupnya seperti wang, pakaian dan sebagainya.
  • Mengucapkan selamat tinggal kepada orang-orang yang ditinggalkan.
  • Melantik seorang ketua jika bermusafir dalam kumpulan.
  • Menunaikan solat musafir dan berdoa sebelum berangkat.
  • Menunaikan solat fardhu.
  • Menghindarkan diri daripada melakukan kerosakan kepada alam sekitar.
Kepentingan Adab Bermusafir :
  • Supaya mendapat rahmat dan keberkatan daripada Allah S.W.T.
  • Supaya kerosakan alam dapat dihindarkan.
  • Seandainya berlaku pertelingkahan, penyelesaian boleh dilakukan oleh ketua yang dilantik.

Rohani Redzwa

 Rohani Redzwa