Friday, April 13, 2018

Contoh Perbincangan Students in Enterprise Programme (SIEP) by Rohani Redzwa

5.0       PERBINCANGAN

Dalam dunia perniagaan kini, sudah semestinya para usahawan berusaha sedaya upaya bagi mengharungi segala saingan untuk memastikan produk yang dikeluarkan memperoleh tempat di hati masyarakat. Para usahawan juga selalu menghadapi masalah seperti kesusahan untuk mendapatkan modal yang besar bagi membuka atau mengembangkan perniagaan.

                        Hal ini berlaku ekoran daripada kenaikan harga barangan yang tidak menentu. Oleh itu, perancangan perniagaan yang lengkap dan teratur haruslah disediakan terlebih dahulu supaya setiap strategi yang disediakan oleh pemilik syarikat dapat diaplikasikan dengan lancar. Seterusnya menjadikan syarikatnya sebuah empayar yang besar dan dikenali.

                        Jika sesebuah syarikat atau perniagaan menghadapi sebarang masalah, permasalahan tersebut akan dapat diselesaikan dengan mudah sekiranya terdapat sistem pentadbiran syarikat yang strategik. Oleh itu, pengkaji berharap pemilik syarikat ini dapat mengembangkan perniagaan dan menaiktarafkan perniagaan ini dengan membaikpulih serta mengkaji permasalahan yang timbul atau wujud.

                        Hal ini  demikian kerana, pengkaji berpendapat bahawa syarikat ini berpotensi untuk berkembang dengan lebih maju berikutan daripada peningkatan jualan seharian yang telah pengkaji amati. Jelaslah bahawa, dunia perniagaan sememangnya suatu bidang yang mencabar tetapi bidang ini akan menguntungkan sekiranya pengusaha bijak mengambil peluang.

                        Bidang keusahawanan atau perniagaan merupakan penyumbang terbesar dalam sektor ekonomi negara. Oleh yang demikian, pelapis-pelapis yang berminat dalam bidang keusahawanan perlu mengambil peluang ini bagi meningkatkan ekonomi Malaysia dan juga dapat mempelajari bidang perniagaan ini dengan lebih mendalam.

Contoh Dapatan Students in Enterprise Programme (SIEP) by Rohani Redzwa

4.0 DAPATAN

4.1 BUTIRAN SYARIKAT

NAMA SYARIKAT :
Ø  Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jawa Pasir Puteh Berhad.

JENIS PEMILIKAN SYARIKAT :
Ø  Koperasi.

LOGO SYARIKAT :
Rajah 1 : Logo Syarikat

Pengertian Simbol :
Ø  Gelang rotan melambangkan budaya bersukan pelajar dan permuafakatan.
Ø  Bintang melambangkan cita-cita.
Ø  Bukit melambangkan Bukit Jawa.
Ø  Kijang melambangkan pintar dan cerdas.
Ø  Buku melambangkan usaha mengejar ilmu.

Pengertian Warna :
Ø  Biru gelap melambangkan perpaduan.
Ø  Biru terang melambangkan harmoni.
Ø  Kuning melambangkan ketaatan kepada pemimpin.
Ø  Merah melambangkan semangat dan keberanian.

VISI :
Ø  Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jawa Pasir Puteh Berhad gemilang menjelang 2020.

MISI :
Ø  Pencapaian cemerlang dalam semua pentadbiran koperasi.
Ø  Pemantapan hubungan dengan komuniti.
Ø  Pengurusan koperasi yang cekap.
Ø  Pembudayaan amalan kebersihan, keceriaan, dan keselamatan (3K).
Ø  Pembentukan jati diri yang telus, bertanggungjawab, bersungguh-sungguh dan bekerjasama.
Ø  Prestasi cemerlang dalam keusahawanan.

MOTO :
Ø  Bekerja bersama-sama demi manfaat bersama.
Ø  Tidak bermotifkan keuntungan.

4.2 LOKASI

Rajah 2 : Peta Syarikat

Rajah 3 : Pelan Susunan Dalam Syarikat

4.3 PENGURUSAN SUMBER MANUSIA

Pengurusan sumber manusia dapat ditakrifkan sebagai satu sistem yang berfungsi bagi menguruskan tenaga kerja ataupun buruh untuk mencapai matlamat sesebuah syarikat. Pengurusan sumber manusia melibatkan usaha-usaha pemilihan, pengambilan pekerja dan juga berfungsi sebagai pengurusan hal-hal sumber manusia dalam syarikat.

                        Berdasarkan kajian dan pemerhatian yang telah dilaksanakan oleh pengkaji, pengkaji berpendapat bahawa syarikat Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jawa Pasir Puteh Berhad merupakan sebuah syarikat yang mempunyai sistem pengurusan yang sistematik walaupun syarikat  yang dijalankan adalah sederhana dan bukan berskala besar.

                        Melalui temubual yang dijalankan oleh pengkaji, pengkaji telah memperoleh maklumat bahawa syarikat ini diuruskan oleh Lembaga Koperasi Sekolah. Bagi menjalankan setiap urusan harian syarikat ini,  terdapat seorang pekerja yang bekerja tetap di syarikat ini. Pekerja di syarikat ini merupakan individu yang tinggal berhampiran di kawasan syarikat ini.

                        Pengurusan sumber manusia merupakan satu perkara yang sangat penting kerana ia merupakan penggerak kepada perjalanan sesebuah syarikat. Tenaga pekerja yang terdapat di syarikat ini adalah terdiri daripada seorang pekerja yang menjadi jurujual dalam syarikat ini serta beliau juga membantu dalam menguruskan perjalanan harian operasi syarikat ini.

                        Pengurusan sumber manusia juga melibatkan soal gaji pekerja. Gaji yang ditawarkan di syarikat ini juga amat menarik serta sesuai dengan keadaan. Gaji permulaan bagi pekerjaan sebagai jurujual di syarikat ini adalah sebanyak RM 1000.00 sebulan dan sekiranya pekerja menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap pekerjaan yang dilakukan, pekerja tersebut akan memperoleh kenaikan gaji sebanyak RM 50.00 setahun.

                        Pembayaran gaji pekerja dilakukan mengikut bulan, namun pekerja dibenarkan untuk memohon pinjaman wang daripada syarikat sekiranya ingin menggunakan wang di saat yang gentir. Hal ini demikian kerana, bagi memberi kemudahan kepada pekerja untuk mendapatkan wang disaat pekerja mengalami kesulitan.

                        Selain itu, syarikat ini juga memberi harga yang lebih rendah kepada pekerjanya sekiranya ingin membeli sesetengah jenis produk yang terdapat di syarikat ini. Pada masa yang sama, syarikat ini juga sentiasa menjaga kebajikan pekerja khususnya dalam soal keselamatan pekerja sewaktu menjalankan tugasan harian.

                        Penekanan soal keselamatan sering ditekankan oleh Lembaga Koperasi Sekolah bagi memastikan keselamatan pekerjanya sentiasa terjamin semasa menjalankan pekerjaan di kawasan syarikat ini. Antara etika keselamatan yang ditekankan oleh lembaga ini  adalah melibatkan cara melaksanakan urusan rundingan dengan pembekal menggunakan percakapan serta cara yang berhemah dan sopan bagi mengelakkan sebarang komplikasi daripada berlaku.

CIRI-CIRI KOPERASI DAN MODAL :

Koperasi merupakan satu perniagaan yang dijalankan oleh sekumpulan individu secara sukarela untuk menjaga kebajikan ahli-ahlinya. Sesebuah koperasi dimiliki dan dikawal oleh ahli-ahlinya. Terdapat dua bentuk koperasi iaitu, koperasi keahlian terhad kepada jenis pekerjaan, kawasan dan latarbelakang seperti koperasi guru dan sekolah. Seterusnya, koperasi yang mempunyai keahlian yang bebas seperti koperasi perumahan dan koperasi pengguna.

                        Mengikut Akta Koperasi 1948, koperasi mempunyai prinsip-prinsip seperti keanggotaan sukarela dan terbuka, perjalanan pengurusan secara demokrasi, bayaran untung atas saham yang terhad, pembahagian untung secara saksama, menggalakkan pendidikan koperasi dan bekerjasama secara aktif disemua peringkat. Koperasi juga mempunyai ciri-cirinya tersendiri. Antara ciri-ciri koperasi adalah ia ditubuhkan di bawah Ordinan Akta Koperasi Malaysia.

                        Liabilitinya adalah terhad. Modal untuk sesebuah koperasi diperoleh melalui yuran samada yuran bulanan, tahunan atau saham yang dibeli oleh ahli. Bagi kes Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jawa Pasir Puteh Berhad pula, pendaftaran atau lebih tepat lagi istilah fee masuk bagi pelajar adalah RM 1.00. Serta saham pula RM 5.00. Semua pelajar SMK Bukit jawa adalah pemegang saham kepada koperasi ini.

                        Koperasi didaftarkan di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia yang dahulunya dikenali sebagai Jabatan Pembangunan Koperasi. Manakala, agihan risiko, keuntungan dan kerugian adalah berdasarkan pegangan saham dan penglibatan ahli-ahli. Sesebuah koperasi diuruskan oleh Lembaga Pengarah atau Pengerusi yang dilantik oleh ahli-ahli semasa mesyuarat agong tahunan. Keuntungan koperasi akan diagihkan kepada ahli sama ada satu kali atau dua kali setahun dalam bentuk dividen atau bonus atau kedua-duanya.

Rajah 4 : Senarai Nama Lembaga Koperasi Sekolah SMK Bukit Jawa

Rajah 5 : Carta Organisasi

4.4 WAKTU OPERASI SYARIKAT
Ø  Ahad - Khamis
Ø  9.00 Pagi - 03.00 Petang

4.5 PRODUK DAN PERKHIDMATAN

PRODUK DAN PERKHIDMATAN UTAMA :
Ø  Menjual alatan persekolahan.
Ø  Menjual pakaian sukan sekolah.
Ø  Menyediakan perkhidmatan fotostat.
Ø  Menyediakan perkhidmatan laminate.
Ø  Menyediakan perkhidmatan fotostat dan binding dalam skala yang besar.

PRODUK DAN PERKHIDMATAN SAMPINGAN :
Ø  Menjual makanan ringan dan kering.
Ø  Menjual tisu untuk kegunaan pelajar.
Ø  Menjual aiskrim selepas tamat waktu persekolahan.
Ø  Menjual minuman sejuk dan pelbagai jenis minuman berperisa.

Contoh Objektif Latihan Students in Enterprise Programme (SIEP) by Rohani Redzwa

3.0 OBJEKTIF LATIHAN

Students in Enterprise Programme (SIEP) merupakan satu program sangkutan atau program peningkatan kemahiran keusahawanan berdasarkan garis panduan program peningkatan kemahiran keusahawanan pelajar UMK yang telah diluluskan oleh senat dalam mesyuarat senat bilangan 19 pada Februari 2009.

OBJEKTIF SIEP :

1.      Mendedahkan pelajar dengan aktiviti keusahawanan melalui penempatan pelajar ke     industri yang telah ditentukan oleh pihak fakulti atau pilihan pelajar sendiri dengan persetujuan fakulti.

2.      Menjalankan kajian menerusi kaedah kajian kes, pemerhatian, pertanyaan dan pembelajaran langsung menerusi pengalaman bekerja di industri.

3.      Menyediakan hasil laporan latihan SIEP.

4.      Mengemukakan cadangan perniagaan baru dalam modul 4.

                        Latihan SIEP ini juga penting kepada siswazah untuk memperoleh keyakinan diri, meluaskan pergaulan sama ada secara korporat ataupun tidak, serta dapat menilai kebolehan diri dalam sesebuah pekerjaan. Melalui modul 1 iaitu sepanjang tempoh lima hari, aspek kajian dan laporan yang di perlukan adalah bertujuan untuk mengenal struktur keusahawanan syarikat iaitu merangkumi dokumentasi syarikat dan laporan lengkap profil syarikat.

Contoh Latarbelakang Latihan Students In Enterprise Programme (SIEP) by Rohani Redzwa

2.0 LATARBELAKANG LATIHAN

Students In Enterprise Programme atau ringkasannya SIEP merupakan satu program wajib yang perlu dijalankan oleh semua pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) untuk bergraduat. SIEP merupakan satu program yang bertujuan untuk melatih para siswa dan siswi bagi mengetahui tentang asas dan ciri-ciri keusahawanan yang perlu ada untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya. Semua siswa dan siswi UMK wajib menjalani program ini kerana program ini merupakan subjek wajib dan juga diambil kira nilai jam kredit iaitu 2 jam kredit. Program ini juga merupakan salah satu syarat bagi mendapat pengijazahan, ini bermakna tertakluk kepada syarat dan peraturan yang telah ditetapkan, pelajar-pelajar yang gagal mengikuti program ini  dengan jayanya, tidak akan dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda.

2.1 LATIHAN HARI PERTAMA

Pada hari pertama menjalani latihan di syarikat ini, pengkaji telah diberi tugasan oleh majikan supaya berperanan sebagai jurujual. Tugasan yang dilaksanakan oleh pengkaji pada hari pertama adalah berada di kaunter bagi melaksanakan atau menjalankan urusan jual beli dengan pelanggan.

                        Manakala, terdapat kemahiran baharu yang pengkaji perolehi pada hari pertama bekerja di syarikat ini iaitu pengkaji telah mengetahui cara-cara untuk mengendalikan mesin fotostat. Pengkaji juga memperoleh pengetahuan tentang harga jualan setiap barangan atau produk yang terdapat di syarikat ini. Hal ini telah memudahkan urusan jual beli berjalan dengan lancar kerana pengkaji tidak lagi teragak-agak tentang harga jualan barangan yang akan pengkaji jual.

                        Namun, terdapat sedikit masalah yang dihadapi oleh pengkaji pada hari pertama iaitu pengkaji masih belum mahir untuk mengendalikan mesin fotostat bagi melaksanakan urusan fotostat kad pengenalan pelanggan. Hal ini kerana perkhidmatan untuk fotostat kad pengenalan agak berbeza dengan fotostat yang biasa. Pada masa yang sama, masalah ini juga timbul kerana ia juga merupakan kali pertama pengkaji mengendalikan mesin fotostat.

2.2 LATIHAN HARI KEDUA

Pada hari kedua, pengkaji telah membantu pekerja tetap syarikat ini untuk membuka kedai pada awal pagi dan pengkaji juga membantu pekerja syarikat ini menyusun barangan jualan di tempat yang sepatutnya.

                        Pengkaji juga telah melaksanakan banyak urusan jualan bagi memenuhi kriteria tugasan yang telah ditetapkan. Seterusnya, pengkaji telah memperoleh pengetahuan dan kemahiran tentang cara hendak memulakan perniagaan atau lebih dikenali dengan istilah opening pada permulaan hari.

2.3 LATIHAN HARI KETIGA

Pada hari berikutnya, pengkaji juga telah melaksanakan urusan penjualan di kaunter jualan. Pengkaji juga telah mengendalikan mesin fotostat bagi memenuhi kehendak pelanggan yang ingin mendapatkan perkhidmatan fotostat.

                        Pada hari ketiga ini, pengkaji telah memperoleh keyakinan yang lebih tinggi dalam mengendalikan mesin fotostat dan pengkaji tidak lagi mengalami sebarang masalah dengan menggunakan mesin ini. Pada hari ketiga juga, pengkaji telah memperoleh pengetahuan yang baru iaitu pengkaji telah belajar tentang cara-cara berunding dengan pembekal.

                        Pengkaji juga memperoleh pengetahuan tentang cara menyemak stok yang baru sampai untuk memastikan barang yang sampai mencukupi bagi mengelakkan sebarang masalah antara perunding dengan pembekal timbul di kemudian hari.

2.4 LATIHAN HARI KEEMPAT

Pada hari keempat pula, pengkaji telah mengetahui tentang tugasan yang perlu pengkaji laksanakan. Oleh itu, pengkaji telah melaksanakan tugasan yang telah ditetapkan sebagai jurujual dan berada di kaunter jualan sepanjang tempoh tugasan.

                        Pada hari keempat ini, pengkaji telah memperoleh pengetahuan tentang cara mengendalikan mesin laminate atau laminating machine. Pada masa yang sama, pengetahuan pengkaji tentang harga bagi setiap barangan jualan juga semakin meningkat.

2.5 LATIHAN HARI KELIMA

Pada hari terakhir latihan SIEP bagi Modul 1, pengkaji telah menjalankan tugasan sebagai jurujual dan berada di kaunter jualan sepanjang tempoh bertugas bagi mengelakkan masalah seperti ketiadaan jurujual sekiranya terdapat pelanggan yang ingin membeli barangan jualan.

            Setelah menjalani latihan sepanjang tempoh lima hari, pengkaji memperoleh pengetahuan tentang cara-cara untuk mengendalikan syarikat ini seperti melayan pelanggan, menyediakan perkhidmatan yang diminta oleh pelanggan, dan sebagainya.

            Oleh itu, jelaslah bahawa latihan SIEP telah mendatangkan banyak manfaat terhadap pengkaji kerana pada akhir latihan ini, pengkaji telah mengetahui tentang cara pengurusan syarikat koperasi sekolah dengan lebih mendalam.

Contoh Pengenalan Students In Enterprise Programme (SIEP) by Rohani Redzwa

1.0 PENGENALAN

Program Students In Enterprise Programme (SIEP) bagi Modul 1 dijalankan selama 5 hari. Latihan ini dikhususkan khas untuk pelajar perintis fakulti Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bagi mendedahkan pelajar tentang dunia perniagaan, mempraktikkan apa yang dipelajari di Universiti serta untuk mempelajari pengurusan perniagaan secara lebih dekat serta terperinci.

                        Pada masa yang sama, latihan ini juga telah memberikan ruang kepada pelajar untuk memahami, mempelajari dan juga menguasai bidang-bidang tertentu dalam sesebuah industri ataupun syarikat. Secara tidak langsung, latihan ini akan memberikan pengalaman yang berguna serta bermakna kepada para pelajar setelah tamat pengajian.

1.1 PENGENALAN SYARIKAT

Pengkaji telah memilih syarikat Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jawa Pasir Puteh Berhad sebagai tempat latihan SIEP. Syarikat ini terletak di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jawa, yang berada di Kampung Selising, di daerah Pasir Puteh, Kelantan.

                        Tujuan pengkaji memilih syarikat ini sebagai tempat bagi pengkaji laksanakan latihan SIEP adalah kerana pengkaji merasakan bahawa, melalui latihan yang dilaksanakan di syarikat yang mewakili koperasi-koperasi sekolah di Malaysia, yang agak sedikit berbeza berbanding dengan segelintir syarikat seperti perniagaan runcit, pengkaji akan memperoleh pengetahuan yang agak berbeza serta bermanfaat.

                        Perbezaan yang dimaksudkan oleh pengkaji adalah, syarikat-syarikat lain sebagai contoh seperti perniagaan runcit, berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Manakala, koperasi-koperasi sekolah pula berdaftar di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM). Oleh itu, pengkaji memutuskan untuk melaksanakan latihan SIEP di syarikat ini kerana pengkaji beranggapan bahawa latihan di syarikat ini sedikit berbeza dengan latihan yang dilaksanakan oleh pengkaji-pengkaji lain.

                        Selain itu, pengkaji juga memilih syarikat ini sebagai tempat bagi pengkaji melaksanakan latihan SIEP adalah kerana syarikat ini terletak berhampiran dengan kawasan kediaman atau perumahan pengkaji. Perkara ini akan memudahkan pengkaji untuk pergi ke kawasan latihan tanpa menimbulkan sebarang kerumitan terhadap pengkaji bagi meneruskan urusan pergi dan balik ke kawasan latihan tersebut.

                        Oleh itu, pengkaji telah berjaya melaksanakan latihan SIEP di Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jawa Pasir Puteh Berhad tanpa sebarang masalah ekoran daripada beberapa faktor positif yang telah pengkaji amati. Jelaslah bahawa sebarang keputusan yang dilaksanakan oleh seseorang pengkaji akan memberikan impak terhadap hasil sesuatu urusan yang dilaksanakan.

1.2 SEJARAH PENUBUHAN SYARIKAT

Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jawa Pasir Puteh Berhad telah didaftarkan pada 09 September 1970. Pada waktu ini, nama syarikat ini adalah Sharikat Kerjasama Jimat Chermat Murid-Murid Sekolah Bekerjasama-Sama Menengah Rendah Bukit Jawa Dengan Tanggongan Berhad.

                        Namun, syarikat ini telah dikenali sebagai syarikat Kerjasama Jimat Chermat Murid-Murid Sekolah Menengah Rendah Bukit jawa setelah berjaya didaftarkan di bawah Ordinan Syarikat Bersama-Sama 1948. Pendaftaran syarikat ini telah disahkan oleh Mohamad Yob bin Busu, iaitu pendaftar bagi syarikat bersama-sama Persekutuan Tanah Melayu.

                        Setelah ditandatangani dan disahkan oleh pendaftar bagi syarikat bersama-sama Persekutuan Tanah Melayu, mengikut Fasal 7 Ordinan Sharikat Bersama-Sama Tahun 1948, syarikat ini mula beroperasi. Oleh kerana nama syarikat ini tidak mendapat persetujuan yang sepakat oleh ahli-ahlinya, nama syarikat ini terpaksa ditukar.

                        Pada 29 Julai 1995 syarikat ini telah memohon untuk menukar nama baharu iaitu Koperasi Sekolah Menengah Bukit Jawa Pasir Puteh Berhad. Permohonan ini telah diluluskan oleh mesyuarat agung dan telah didaftarkan di bawah subseksyen 18(3) Akta Koperasi 1993. Nama baharu syarikat ini telah dikuatkuasakan pada 23 Disember 1995.

                        Seterusnya, pada 03 Jun 1996, syarikat ini telah diterima menjadi ahli Angkasa dengan kelulusan Mesyuarat Jawatankuasa Tadbir Kebangsaan dengan bilangan pendaftaran yang bernombor 4580. Serta sijil perakuan keahlian ini telah dikeluarkan pada 25 November 2000. Pada masa yang sama, pada tahun 2000 juga nama syarikat ini telah ditukar kepada Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jawa Pasir Puteh Berhad dan kekal sebagai nama ini sehingga ke hari ini.

Penat Bukan Penghalang Untuk Terus Berjaya

Assalamualaikum. 
Doakan ketabahan saya untuk mengharungi liku-liku kehidupan di Universiti ini. Sedikit penat tapi percaya usaha yang tidak putus akan membuahkan hasil yang tak disangka-sangkakan.
#BudakMultimedia

INTERVIEW BERJALAN DENGAN LANCAR

Assalamualaikum kepada semua.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah mendoakan kebaikan buat saya. Alhamdulillah, interview tadi berjalan dengan lancar dan saya telah diterima untuk menyambung pengajian dalam bidang multimedia.

Selama dua semester saya struggle dalam pengajian Ijazah Sarjana Muda ini, harini saya memperoleh berita yang tak disangka-sangkakan.

Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah, tak terkata.
Minat yang mendalam telah lama saya pendam, namun harini Allah telah memakbulkan doa saya.
Benarlah bahawa kemenangan selalu menanti mereka yang sentiasa bersabar.
Memang tak dijangka.

Yang mane tak berpeluang, saya harap anda jangan bersedih, ingat satu perkara je bahawa Allah is the best planner.

Ada hikmah di sebalik semua yang terjadi. Masih ada peluang untuk anda dalam bidang-bidang lain.
Sekali lagi, terima kasih semuanya.

Rohani Redzwa

 Rohani Redzwa