Saturday, January 11, 2014

Perinsip Perakaunan Tingkatan 5 - Bab 1 Perakaunan Untuk Tunai

Kawalan Tunai :
  • Maksud kawalan tunai ialah kawalan perakaunan dalaman yang berkaitan dengan pengawasan dan pengendalian wang tunai perniagaan.
Kawalan Tunai Bertujuan Untuk :
  • Mengelakkan berlakunya kehilangan tunai disebabkan kecurian, penipuan dan penyelewengan.
  • Memastikan terdapat wang tunai yang cukup untuk menjelaskan semua hutang.
  • Mengelakkan kehilangan hasil akibat terlalu banyak tunai yang terbiar di tangan.
Tujuan Kawalan Tunai :
  1. Kawalan tunai merupakan kawalan perakaunan dalaman yang berkaitan dengan pengawasan dan pengendalian wang tunai perniagaan. 
  2. Wang tunai merupakan aset perniagaan yang paling cair.
  3. Rekod penerimaan dan pembayaran wang tunai sesebuah perniagaan akan dicatat dalam buku tunai.
  4. Sesebuah perniagaan perlu mengawal tunai untuk memastikan operasi perniagaan berjalan dengan lancar.
  5. Hal ini demikian kerana salah urus wang tunai akan menyebabkan operasi perniagaan akan mengalami masalah.
  6. Tujuan kawalan tunai adalah seperti yang berikut : 
  • Mengelakkan berlakunya kehilangan tunai disebabkan oleh  kecurian, penipuan dan penyelewengan. Satu sistem pengendalian penerimaan tunai dan pembayaran tunai yang baik perlu diwujudkan Segala urus niaga yang melibatkan tunai perlulah disokong oleh dokumen perniagaan seperti resit, keratan cek dan baucer bayaran.
  • Memastikan terdapat wang tunai yang cukup untuk menjelaskan semua hutang apabila sampai masanya. Peniaga sepatutnya memperuntukkan tunai yang cukup untuk membayar belanja operasi perniagaan termasuklah kadar bayaran, gaji pekerja, belanja angkutan, belanja-belanja lain dan juga hutang pembekal.
  • Mengelakkan kehilangan hasil akibat terlalu banyak tunai yang terbiar di tangan. Tunai yang berlebihan boleh dilaburkan untuk mendapatkan pulangan pada masa depan. Misalnya, peniaga boleh menyimpan lebihan wang tunai di dalam akaun simpanan tetap untuk memperoleh pendapatan dalam bentuk faedah dan dividen.
Penyata Penyesuaian Bank :
  • Maksud penyata penyesuaian bank ialah penyata yang diwujudkan untuk menyelaraskan baki di Buku Tunai dengan baki di penyata bank.
Sebab Perbezaan Baki Di Buku Tunai Dan Baki Di Penyata Bank :

a)Butir yang telah direkodkan dalam buku tunai tetapi belum direkodkan dalam penyata bank :
  • Cek belum dikemukakan.
  • Deposit belum dikreditkan.
  • Kesilapan dalam buku tunai.
b)Butir yang telah direkodkan dalam penyata bank tetapi belum direkodkan dalam buku tunai :

  • Penerimaan oleh bank.
  • Pembayaran oleh bank.
  • Cek tak laku.

Penyata Bank :
  1. Pihak bank akan menghantar satu salinan rekod urus niaga bagi Akaun Semasa pelanggannya pada setiap akhir bulan.
  2. Salinan rekod ini dinamakan penyata bank.
  3. Dalam erti kata lain, penyata bank ialah ringkasan urus niaga antara pihak bank dengan pelanggan Akaun Semasa dalam tempoh satu bulan.
  4. Perhubungan antara sebuah bank dengan pelanggannya adalah seperti hubungan antara pemiutang dengan penghutang.
  5. Kepentingan penyata bank kepada sesebuah perniagaan :  
  • Berfungsi untuk menyemak ketepatan catatan dalam buku tunai.
  • Mengetahui penerimaan dan pembayaran yang telah dilakukan.
  • Mengetahui baki wang tunai dalam akaun bank.

Rohani Redzwa

 Rohani Redzwa