Friday, April 13, 2018

Contoh Latarbelakang Latihan Students In Enterprise Programme (SIEP) by Rohani Redzwa

2.0 LATARBELAKANG LATIHAN

Students In Enterprise Programme atau ringkasannya SIEP merupakan satu program wajib yang perlu dijalankan oleh semua pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) untuk bergraduat. SIEP merupakan satu program yang bertujuan untuk melatih para siswa dan siswi bagi mengetahui tentang asas dan ciri-ciri keusahawanan yang perlu ada untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya. Semua siswa dan siswi UMK wajib menjalani program ini kerana program ini merupakan subjek wajib dan juga diambil kira nilai jam kredit iaitu 2 jam kredit. Program ini juga merupakan salah satu syarat bagi mendapat pengijazahan, ini bermakna tertakluk kepada syarat dan peraturan yang telah ditetapkan, pelajar-pelajar yang gagal mengikuti program ini  dengan jayanya, tidak akan dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda.

2.1 LATIHAN HARI PERTAMA

Pada hari pertama menjalani latihan di syarikat ini, pengkaji telah diberi tugasan oleh majikan supaya berperanan sebagai jurujual. Tugasan yang dilaksanakan oleh pengkaji pada hari pertama adalah berada di kaunter bagi melaksanakan atau menjalankan urusan jual beli dengan pelanggan.

                        Manakala, terdapat kemahiran baharu yang pengkaji perolehi pada hari pertama bekerja di syarikat ini iaitu pengkaji telah mengetahui cara-cara untuk mengendalikan mesin fotostat. Pengkaji juga memperoleh pengetahuan tentang harga jualan setiap barangan atau produk yang terdapat di syarikat ini. Hal ini telah memudahkan urusan jual beli berjalan dengan lancar kerana pengkaji tidak lagi teragak-agak tentang harga jualan barangan yang akan pengkaji jual.

                        Namun, terdapat sedikit masalah yang dihadapi oleh pengkaji pada hari pertama iaitu pengkaji masih belum mahir untuk mengendalikan mesin fotostat bagi melaksanakan urusan fotostat kad pengenalan pelanggan. Hal ini kerana perkhidmatan untuk fotostat kad pengenalan agak berbeza dengan fotostat yang biasa. Pada masa yang sama, masalah ini juga timbul kerana ia juga merupakan kali pertama pengkaji mengendalikan mesin fotostat.

2.2 LATIHAN HARI KEDUA

Pada hari kedua, pengkaji telah membantu pekerja tetap syarikat ini untuk membuka kedai pada awal pagi dan pengkaji juga membantu pekerja syarikat ini menyusun barangan jualan di tempat yang sepatutnya.

                        Pengkaji juga telah melaksanakan banyak urusan jualan bagi memenuhi kriteria tugasan yang telah ditetapkan. Seterusnya, pengkaji telah memperoleh pengetahuan dan kemahiran tentang cara hendak memulakan perniagaan atau lebih dikenali dengan istilah opening pada permulaan hari.

2.3 LATIHAN HARI KETIGA

Pada hari berikutnya, pengkaji juga telah melaksanakan urusan penjualan di kaunter jualan. Pengkaji juga telah mengendalikan mesin fotostat bagi memenuhi kehendak pelanggan yang ingin mendapatkan perkhidmatan fotostat.

                        Pada hari ketiga ini, pengkaji telah memperoleh keyakinan yang lebih tinggi dalam mengendalikan mesin fotostat dan pengkaji tidak lagi mengalami sebarang masalah dengan menggunakan mesin ini. Pada hari ketiga juga, pengkaji telah memperoleh pengetahuan yang baru iaitu pengkaji telah belajar tentang cara-cara berunding dengan pembekal.

                        Pengkaji juga memperoleh pengetahuan tentang cara menyemak stok yang baru sampai untuk memastikan barang yang sampai mencukupi bagi mengelakkan sebarang masalah antara perunding dengan pembekal timbul di kemudian hari.

2.4 LATIHAN HARI KEEMPAT

Pada hari keempat pula, pengkaji telah mengetahui tentang tugasan yang perlu pengkaji laksanakan. Oleh itu, pengkaji telah melaksanakan tugasan yang telah ditetapkan sebagai jurujual dan berada di kaunter jualan sepanjang tempoh tugasan.

                        Pada hari keempat ini, pengkaji telah memperoleh pengetahuan tentang cara mengendalikan mesin laminate atau laminating machine. Pada masa yang sama, pengetahuan pengkaji tentang harga bagi setiap barangan jualan juga semakin meningkat.

2.5 LATIHAN HARI KELIMA

Pada hari terakhir latihan SIEP bagi Modul 1, pengkaji telah menjalankan tugasan sebagai jurujual dan berada di kaunter jualan sepanjang tempoh bertugas bagi mengelakkan masalah seperti ketiadaan jurujual sekiranya terdapat pelanggan yang ingin membeli barangan jualan.

            Setelah menjalani latihan sepanjang tempoh lima hari, pengkaji memperoleh pengetahuan tentang cara-cara untuk mengendalikan syarikat ini seperti melayan pelanggan, menyediakan perkhidmatan yang diminta oleh pelanggan, dan sebagainya.

            Oleh itu, jelaslah bahawa latihan SIEP telah mendatangkan banyak manfaat terhadap pengkaji kerana pada akhir latihan ini, pengkaji telah mengetahui tentang cara pengurusan syarikat koperasi sekolah dengan lebih mendalam.

No comments:

Rohani Redzwa

 Rohani Redzwa