Friday, April 13, 2018

Contoh Pengenalan Students In Enterprise Programme (SIEP) by Rohani Redzwa

1.0 PENGENALAN

Program Students In Enterprise Programme (SIEP) bagi Modul 1 dijalankan selama 5 hari. Latihan ini dikhususkan khas untuk pelajar perintis fakulti Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bagi mendedahkan pelajar tentang dunia perniagaan, mempraktikkan apa yang dipelajari di Universiti serta untuk mempelajari pengurusan perniagaan secara lebih dekat serta terperinci.

                        Pada masa yang sama, latihan ini juga telah memberikan ruang kepada pelajar untuk memahami, mempelajari dan juga menguasai bidang-bidang tertentu dalam sesebuah industri ataupun syarikat. Secara tidak langsung, latihan ini akan memberikan pengalaman yang berguna serta bermakna kepada para pelajar setelah tamat pengajian.

1.1 PENGENALAN SYARIKAT

Pengkaji telah memilih syarikat Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jawa Pasir Puteh Berhad sebagai tempat latihan SIEP. Syarikat ini terletak di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jawa, yang berada di Kampung Selising, di daerah Pasir Puteh, Kelantan.

                        Tujuan pengkaji memilih syarikat ini sebagai tempat bagi pengkaji laksanakan latihan SIEP adalah kerana pengkaji merasakan bahawa, melalui latihan yang dilaksanakan di syarikat yang mewakili koperasi-koperasi sekolah di Malaysia, yang agak sedikit berbeza berbanding dengan segelintir syarikat seperti perniagaan runcit, pengkaji akan memperoleh pengetahuan yang agak berbeza serta bermanfaat.

                        Perbezaan yang dimaksudkan oleh pengkaji adalah, syarikat-syarikat lain sebagai contoh seperti perniagaan runcit, berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Manakala, koperasi-koperasi sekolah pula berdaftar di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM). Oleh itu, pengkaji memutuskan untuk melaksanakan latihan SIEP di syarikat ini kerana pengkaji beranggapan bahawa latihan di syarikat ini sedikit berbeza dengan latihan yang dilaksanakan oleh pengkaji-pengkaji lain.

                        Selain itu, pengkaji juga memilih syarikat ini sebagai tempat bagi pengkaji melaksanakan latihan SIEP adalah kerana syarikat ini terletak berhampiran dengan kawasan kediaman atau perumahan pengkaji. Perkara ini akan memudahkan pengkaji untuk pergi ke kawasan latihan tanpa menimbulkan sebarang kerumitan terhadap pengkaji bagi meneruskan urusan pergi dan balik ke kawasan latihan tersebut.

                        Oleh itu, pengkaji telah berjaya melaksanakan latihan SIEP di Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jawa Pasir Puteh Berhad tanpa sebarang masalah ekoran daripada beberapa faktor positif yang telah pengkaji amati. Jelaslah bahawa sebarang keputusan yang dilaksanakan oleh seseorang pengkaji akan memberikan impak terhadap hasil sesuatu urusan yang dilaksanakan.

1.2 SEJARAH PENUBUHAN SYARIKAT

Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jawa Pasir Puteh Berhad telah didaftarkan pada 09 September 1970. Pada waktu ini, nama syarikat ini adalah Sharikat Kerjasama Jimat Chermat Murid-Murid Sekolah Bekerjasama-Sama Menengah Rendah Bukit Jawa Dengan Tanggongan Berhad.

                        Namun, syarikat ini telah dikenali sebagai syarikat Kerjasama Jimat Chermat Murid-Murid Sekolah Menengah Rendah Bukit jawa setelah berjaya didaftarkan di bawah Ordinan Syarikat Bersama-Sama 1948. Pendaftaran syarikat ini telah disahkan oleh Mohamad Yob bin Busu, iaitu pendaftar bagi syarikat bersama-sama Persekutuan Tanah Melayu.

                        Setelah ditandatangani dan disahkan oleh pendaftar bagi syarikat bersama-sama Persekutuan Tanah Melayu, mengikut Fasal 7 Ordinan Sharikat Bersama-Sama Tahun 1948, syarikat ini mula beroperasi. Oleh kerana nama syarikat ini tidak mendapat persetujuan yang sepakat oleh ahli-ahlinya, nama syarikat ini terpaksa ditukar.

                        Pada 29 Julai 1995 syarikat ini telah memohon untuk menukar nama baharu iaitu Koperasi Sekolah Menengah Bukit Jawa Pasir Puteh Berhad. Permohonan ini telah diluluskan oleh mesyuarat agung dan telah didaftarkan di bawah subseksyen 18(3) Akta Koperasi 1993. Nama baharu syarikat ini telah dikuatkuasakan pada 23 Disember 1995.

                        Seterusnya, pada 03 Jun 1996, syarikat ini telah diterima menjadi ahli Angkasa dengan kelulusan Mesyuarat Jawatankuasa Tadbir Kebangsaan dengan bilangan pendaftaran yang bernombor 4580. Serta sijil perakuan keahlian ini telah dikeluarkan pada 25 November 2000. Pada masa yang sama, pada tahun 2000 juga nama syarikat ini telah ditukar kepada Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jawa Pasir Puteh Berhad dan kekal sebagai nama ini sehingga ke hari ini.

No comments:

Rohani Redzwa

 Rohani Redzwa